Sabtu, 20 Oktober 2012

Latihan Kata Hubung


Pilih jawapan yang betul.

1.      Imah membeli beberapa kuntum bunga tulip _______ sebuah pasu untuk menghias ruang tamu rumahnya.
A.      atau
B.      dan
C.      kerana
D.     sambil

2.      Pembantu rumah Dato’ Amirul pulang ke kampungnya  ________________ ibunya sakit tenat.
A.      dan
B.      atau
C.      tetapi
D.     kerana

3.      Saya tidak pasti sama ada ayah akan pulang petang ini ______________ esok pagi.
A.      atau
B.      tetapi
C.      kerana
D.     sambil

4.      Kamariah sedang memandu kereta  ________________ menyanyi .
A.      dan
B.      atau
C.      sambil
D.     kerana

5.      Walaupun Cikgu Marina sangat tegas, _______________  sebenarnya dia seorang guru yang  penyayang.
A.      tetapi
B.      sambil
C.      kerana
D.     kecuali

6.      Semua ahli keluarga Farhana memakai cermin mata ______________ kakaknya.
A.      sambil
B.      tetapi
C.      kecuali
D.     kerana

Latihan Penjodoh Bilangan


Pilih jawapan yang betul.

1.      Tiga _________ murid akan dipilih sebagai pemenang Pertandingan Pidato.
A.      biji
B.      keping
C.      orang
D.     kuntum

2.      Ibu memetik lapan ________________ bunga ros untuk dijadikan bunga hiasan di atas meja .
A.      buah
B.      ekor
C.      bungkus
D.     kuntum

3.      Kami dikehendaki membawa beberapa ________________kertas warna untuk Pendidikan Seni Visual.
A.      helai
B.      buah
C.      buku
D.     orang

4.      Cikgu Tina memberi saya se________________ roti kelapa pagi tadi.
A.      orang
B.      helai
C.      buku
D.     ekor

5.      Kakak membeli se__________________ mi goreng untuk dibawa bekal ke pejabat.
A.      bungkus
B.      keping
C.      buku
D.     kuntum

6.      Kak Lin sedang mencuci beberapa _____________ cawan di dapur.
A.      keping
B.      batang
C.      buah
D.     biji

Penjodoh Bilangan



1.      Penjodoh bilangan digunakan di depan kata nama untuk menguatkan aspek bilangan.
2.      Terdapat juga penjodoh bilangan yang disertai dengan kata bilangan.
3.      Penjodoh bilangan berfungsi untuk menerangkan aspek bilangan sesuatu benda, tempat, hal, perkara, dan manusia.

Penjodoh
Bilangan

Penggunaan
Ayat Contoh

biji
Benda kecil, bulat,seakan-akan bulat , buah-buahan,dan sayur berbentuk bulat .
Contoh: labu, belon,manggis,gelas, guli,cawan.

Saya makan dua biji manggis petang tadi.

buah
Benda padu yang bentuk atau jenisnya tidak tentu besarnya .
Contoh : meja, rumah, kereta, komputer, negeri, negara, kamera, bangku, mesin pencetak.

Encik Amin memiliki dua buah komputer di rumahnya.
          
buku
Benda yang keadaannya berketul, berbongkah.
Contoh : benang, keju, roti, sabun.
Ibu membeli tiga buku benang kuning untuk menjahit langsir tempahan.


bungkus
Benda yang dalam keadaan berbungkus .
Contoh : roti, nasi lemak, mi goreng, biskut.

Hadi makan sebungkus nasi lemak di kantin.

ekor
Semua jenis binatang.
Contoh : kambing, rusa, kucing
Cikgu Sulaiman memelihara dua ekor kucing Parsi.


helai
Benda nipis, lembut, serta lebar .
Contoh : kertas, baju kain, sejadah dan tuala,seluar.
Encik Amri membawa beberapa helai pakaian semasa bertugas di luar daerah.


keping
Benda yang rata, nipis, pipih, lebar, serta leper.
Contoh : roti, gambar, papan, poskad, biskut, marmar.

Pekerja itu sedang mengangkat beberapa keping papan.

kuntum

Untuk bunga.
Pemuda itu menghadiahkan lima kuntum bunga kepada tunangnya.


orang
Untuk manusia.
Contoh : murid, nenek, pengemis
Seorang posmen terlibat dalam kemalangan jalan raya.
.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan


Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan . Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dikenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.

Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi cirri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik.

Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidikan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia.

FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara.

Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti. 

Sumber : 50 Tahun Pembangunan Pendidikan Tinggi di Malaysia (1957-2007) -Penerbit USM, 2007 

Ahad, 14 Oktober 2012

Kata-Kata Pujangga


Saya percaya; esok sudah tidak boleh mengubah apa yang berlaku hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan terjadi pada hari esok.

Yang telah berlalu biarkan ia berlalu, yang mendatang hadapi dengan cemerlang.


Berbuat baik jangan sekali, buatlah berkali-kali.



Kasihkan manusia lepaskan dia kepada pilihan dan keputusannya kerana di situ tanda kita gembira melihat insan yang kita sayangi beroleh bahagia.



Untuk mengubah keadaan, lebih baik kita mengubah diri kita sendiri kerana kita tidak mampu mengubah orang lain.



Jangan sesekali menggadai prinsip, demi untuk mendapat dunia yang mengiurkan.



Biarpun jalan itu panjang, kita akan merintisnya perlahan-lahan.



Hidup ini adalah warna-warni yang terlakar pada kanvas, walaupun tidak cantik ia tetap menjadi sejuta maksud.



Sesuatu khayalan kadang-kadang menjadi realiti.



Tidak ada manusia yang hidup untuk gagal, tetapi tidak merancang adalah merancang untuk gagal.



Manusia tidak perlu dihukum kerana lupa, tetapi manusia perlu dihukum kerana sengaja lupa.



Andai hidup punca perpisahan, biarlah mati menyambungnya semula. Namun seandainya mati punca perpisahan, biarlah hidup ini membawa erti yang nyata.

Sesi Guru Mengecat Sekolah

Kami, guru-guru SKSS dengan rela hati bergotong-royong mengecat dinding sekolah agar cat yang telah pudar itu kembali ceria.